Peta Lokasi Masjid Selat Melaka
Cantik bukan?? Pertama kali saya melihat masjid ini saya secara peribadinya amat terpegun dengan seni bina masjid ini. Belum pernah saya melihat reka bentuk masjid yang tersergam indah seperti istana. Seperti yang kita sedia maklum, Melaka bukan sahaja terkenal dengan negeri peninggalan sejjarah yang sangat terkenal malah ia juga merupakan sebuah pusat penyebaran dan perkembangan Islam yang terulung di Nusantara.
Ingin saya kongsikan serba sedikat info tentang Masjid Selat Melaka. Menelan belanja hampir RM11 juta, masjid tersebut yang dibina di atas tanah yang berkeluasan 1.8 hektar mempunyai ciri-ciri seni bina Melayu dan Timur Tengah.Daripada jumlag RM11 juta, kerajaan Persekutuan memberi peruntukan sebanyak RM7 juta.Masjid tersebut mampu menampung kira-kira 2,000 jemaah pada satu-satu masa.
Masjid Selat Melaka mula dibina pada Jun 2003 dan siap sepenuhnya pada 29 Ogos 2006. Ia dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ketika itu pada 24 November 2006.
Pada masjid ini terdapat pelbagai keunikan yang sukar untuk diungkap melalui kata-kata. Namun yang paling ketara ialah binaan menaranya yang setinggi 30 meter. Menara yang menjulang tinggi di sebelah kiri pintu gerbang Masjid Selat itu sebenarnya tidak sekadar menara untuk melaungkan azan ke seluruh alam. Sebaliknya, dengan kedudukan fizikal terletak di pinggiran selat itu maka menara itu mempunyai dwi fungsi sebagai Rumah Api.
Antara ciri-ciri dari sudut senibina:
- Rekabentuk masjid ini berkonsepkan senibina masjid lama negeri Melaka.
- Arch besar yang memaparkan cermin bercorak dan berwarna-warni menghiasi ruang tengah setiap fasad.
- Kubah yang berwarna keemasan dan dibaluti dengan warna biru bercorak ini diapit oleh 4 buah menara kecil di setiap sudut.
- Menara azan/utama menirus kepuncak pada ketinggian 2 kali ganda bangunan utama.
- Bangunan khas yang menempatkan tandas serta tempat wuduk lelaki dan wanita dibina berasingan di kiri & kanan laluan masuk ke ruang solat utama & dihubungkan dengan laluan pejalan kaki bertutup.
- Masjid ini dibina bertongkahkan cerucuk konkrit tetulang dan mengunjur ke laut.
Antara ciri-ciri reka bentuk dalaman:
- Kubah utamanya disokong oleh 4 buah tiang konkrit berbentuk silinder bertapak empat segi sama.
- Selain dari ruang solat utama di aras bawah, ruang solat tambahan disediakan di aras mezanin untuk menampung lebihan jemaah.
- Mimbar masjid diperbuat dari kayu yang diukir sederhana kehalusan seninya dan bentuknya seakan-akan menara yang berbumbung & berkubah bawang biru.
- Dek/serambi tinjau disediakan di sekeliling bangunan utama masjid sebagai tempat berehat sambil menikmati pemandangan indah Selat Melaka.
Masjid ini sahaja bukan sahaja menarik malah ia juga menjadi tumpuan pelancong dari luar. Masjid ini juga umpama simbol yang mempamerkan keindahan islam. Antara objektif masjid ini di bina adalah untuk menyebarkan dakwah islamiah dan memberi semangat baru kepada umat islam untuk lebih rajin untuk datang menunaikan solat jamaah. Bukan kerana seni bina masjid ini yang menarik membuatkan umat islam untuk berkunjung ke tempat ini semata-mata, malah niat kita untuk beribadah kerana allah S.W.T itulah yang paling utama.
|
0 comments:
Post a Comment